Apakah Osteoporosis?
Osteoporosis adalah satu keadaan kehilangan tisu tulang, mengakibatkan tulang-tulang rapuh dan mudah patah.
Bagaimana Ia Boleh Berlaku?
Ia berlaku apabila badan tidak lagi dapat menggantikan tisu-tisu tulang yang lama dengan tisu baru yang lebih sihat.

Tulang adalah tisu hidup yang membaiki sendiri secara berterusan. Ia terdiri dari bahagian luar yang keras, mengandungi jaringan kolagen (serat elastik yang kuat) bahan mineral salur darah dan sum-sum tulang. Tulang yang sihat biasanya amat padat dan ruangan di antara tulang adalah kecil. Dalam kes osteoporosis, ruangan adalah besar, menjadikan tulang lemah dan kurang elastik.
Ia biasa berlaku di kalangan mereka yang meningkat usia dan golongan wanita berikutan menopaus. Apabila usia meningkat, anda juga akan mengalami kekurangan jumlah tisu-tisu tulang, menyebabkan tulang menipis. Tulang akan mudah jadi rapuh dan mudah patah, terutamanya tulang belakang, pergelangan tangan dan tulang pinggul.
Tanda dan Gejala
Osteoporosis mengambil masa beberapa tahun untuk berkembang. Gejala pada mulanya tidak begitu ketara pada peringkat awal dan boleh mengambil beberapa bulan dan tahun untuk muncul. Tanda osteoporosis termasuklah sakit sendi, sukar untuk berdiri lurus atau duduk atau kepatahan tulang tanpa hentaman atau hentakan.
Apabila tulang menjadi nipis (rendah dalam jisim tulang) , perpecahan tulang pergelangan tangan, tulang pinggul atau tulang spinal (vertebra) lebih senang patah. Batuk atau bersin mungkin menyebabkan patah tulang dada (rib) atau berpotensi untuk tulang belakang reput.
Kepatahan tulang dalam usia lanjut boleh menjadi serius, kerana tulang tidak boleh membaiki diri sendiri dengan berkesan. Ini boleh menyebabkan kepada artritis dan mungkin menyebabkan kecacatan; bagi setengah warga usia emas mereka tidak boleh hidup berikut kecederaan. Sesetengah warga emas tidak boleh hidup berdikari jika mengalami kecederaan.
Bongkok yang biasa berlaku di kalangan warga usia emas adalah satu gejala osteoporosis. Ia berlaku apabila tulang vertebra patah ( atau pecah ) membuatkan susah untuk menyokong berat badan.
Tulang tebal dan kuat semasa remaja. Pada sekitar umur 35 tahun, lebih banyak tisu tulang yang hilang daripada yang diganti. Ini menyebabkan tulang menjadi nipis dan lemah. Orang yang kerap melakukan senaman semasa muda, dan masih aktif semasa berumur, kurang risiko mendapat osteoporosis, kerana tulang masih kuat.
Wanita berisiko lebih tinggi mendapat osteoporosis berbanding lelaki. Ini disebabkan penurunan hormon oestrogen selepas menopos.
Komplikasi
Osteoporosis menyebabkan kurang ketinggian badan, akibat kepatahan tulang belakang (spinal ). Ini bermakna tulang belakang tidak lagi mampu untuk menyokong berat badan, dan menyebabkan bentuk badan yang sedikit membongkok . Kebiasaannya kemalangan kecil boleh menyebabkan patah atau rentak di pergelangan tangan , lengan, leher atau tulang pinggul.
Sesetengah orang menjadi tidak berupaya kesan daripada tulang yang lemah. Penggantian semula tulang pinggul selalunya diperlukan sekiranya ia patah, dan ini akan menyebabkan pesakit tidak mampu berjalan sendiri.






